JIKA sebelum ini kita membicarakan tentang kedudukan bertabarruk
dengan kesan peninggalan nabi, kali ini kita kaji pula tentang
bertabarruk dengan kesan-kesan para nabi terdahulu dan orang soleh
selain mereka.
Kita akan mendapati bahawa perbuatan mengambil keberkatan dengan
kesan-kesan mereka itu juga dibolehkan dan disokong oleh nas-nas dan
pendapat para pakar.
Diriwayatkan daripada Nafi': "Abdullah ibn Umar mengkhabarkan kepada
kami bahawa sejumlah sahabat singgah bersama Rasulullah SAW di Hijir di
negeri Thamud. Mereka mengambil air daripada perigi-perigi yang terdapat
di sana dan mengadun roti dengan menggunakan air itu."
Rasulullah lalu memerintahkan mereka supaya menumpahkan air yang
mereka ambil (dari perigi-perigi itu) dan memberikan roti adunan itu
kepada unta. Kemudian nabi memerintahkan mereka mengambil air dari
perigi yang sering didatangi unta Nabi Hud. (riwayat Imam Muslim dalam
kitab Al-Zuhd).
Imam Nawawi berkata dalam Syarh Muslim: "Dalam hadis ini terkandung faedah bertabarruk dengan bekas peninggalan orang soleh. (Al-Nawawi, Syarh Muslim, 18: 112)."
Bertabarruk dengan Tabut
Allah SWT telah menyebut dalam al-Quran tentang kelebihan Tabut
sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Dan Nabi mereka, berkata lagi
kepada mereka: "Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang
menunjukkan benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut
yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa dari Tuhan
kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh
keluarga Nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat.
Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda
keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman". (al-Baqarah: 248)
Ringkasan kisah ini, bahawa peti Tabut tersebut ada pada Bani Israel.
Mereka memohon pertolongan dengan keberkatan Tabut dan bertawassul
kepada Allah melalui perantaraan barang-barang peninggalan yang terdapat
dalam Tabut tersebut.
Inilah yang dinamakan bertabarruk dengan benda yang kita kehendaki
dan maksudkan. Allah SWT telah menjelaskan tentang kandungan Tabut itu
sebagaimana yang dinyatakan di dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan
(berisi) sebahagian daripada apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga
Nabi Musa dan Harun.
Baki peninggalan itu adalah barang-barang yang ditinggalkan oleh
keluarga Nabi Musa dan Harun iaitu tongkat Nabi Musa sebahagian pakaian
baginda, pakaian Nabi Harun beserta kedua belah capalnya, Alwaah (batu
bertulis) daripada kitab Taurat, dan mangkuk basuh tangan.
Perkara tersebut disebut oleh para ahli tafsir dan pakar sejarah
seperti Ibnu Kathir, al-Qurtubi, al-Suyuti, dan al-Tobari. Maka rujuklah
kepada (kitab-kitab) mereka dan ternyata ia menunjukkan kepada banyak
makna.
Antaranya, bertawassul dengan peninggalan orang soleh. Di antaranya
lagi, suruhan memelihara harta peninggalan seperti itu, dan di antaranya
juga, menunjukkan perbuatan bertabarruk dengan barang-barang tersebut.
Bertabarruk dengan Masjid al-'Asysyaar
Diriwayatkan daripada Soleh ibn Dirham, berkata: "Pada suatu hari,
kami bertolak untuk menunaikan ibadah haji. Tiba-tiba, seseorang berkata
kepada kami: Berhampiran kalian ada sebuah kampung yang dipanggil
al-'Abilah?"
Kami menjawab: "Ya". Dia berkata: "Siapa di antara kalian yang
sanggup menjamin bagiku supaya aku dapat melakukan solat di Masjid
al-'Asysyaar sebanyak dua atau empat rakaat?" Kemudian dia berkata:
"(Solat) ini (pahalanya) untuk Abu Hurairah r.a. (Abu Hurairah r.a
pernah berkata:) "Aku pernah mendengar kekasihku, Abu al-Qasim (Nabi
Muhammad) SAW bersabda: Sesungguhnya Allah SWT akan membangkitkan dari
Masjid al-'Asysyaar pada hari kiamat syuhada; yang tidak bangkit bersama
syuhada Badar itu selain mereka."
Riwayat Abu Daud, dan beliau berkata: "Masjid ini terletak berhampiran sungai. (al-Tibrizi, Mishkat Masabih, 3: 5434)."
Berkata al-Allamah al-Muhaddith al-Kabir Sheikh Khalil Ahmad
al-Saharanfuri, di dalam kitabnya, Bazl al-Majhud Syarh Sunan Abi Daud:
"Di dalam hadis tersebut menunjukkan bahawa ketaatan yang dilakukan oleh
badan seseorang, pahalanya boleh disampaikan kepada orang lain, dan
bekas peninggalan orang-orang soleh dan muqarrabin boleh diziarah dan
dijadikan alat untuk mengambil berkat. (Al-Saharanfuri, Bazl Al-Majhud,
17: 225)."
Al-Allamah al-Muhaddith Sheikh Abu al-Toyyib, penulis kitab 'Aun
al-Ma'bud, berkata: "Masjid al-'Asysyaar adalah masjid terkenal yang
sering dijadikan tempat solat untuk mengambil berkat." (Al-'Azim
al-'Abaadi, 'Aun al-Ma'bud, 11: 422)
Daripada perbahasan di atas kita telah melihat pelbagai pendapat dan
hujah yang mendokong perbuatan bertabarruk dengan kesan peninggalan
orang soleh yang datang sebelum kita.
Cuma, kita perlu berhati-hati dengan mempastikan bahawa mereka itu
benar-benar diakui kesolehan, tidak melanggar batas syarak dalam
bertabarruk dan tidak meyakini bahawa bekas-bekas tersebut mampu memberi
kesan dengan sendiri melainkan dengan izin dan kuasa Allah SWT jua.
Wallahu a'lam