Wednesday 13 June 2012

Pembubaran perkahwinan dalam Islam


Perkahwinan  adalah akad yang ditentukan oleh syarak bagi  menghalalkan hubungan jenis antara lelaki dengan wanita.Ia merupakan satu jalan yang mulia untuk mengatur hidup berumahtangga dan bagi menyambung generasi yang bertanggungjawab.
Perkahwinan juga bertujuan supaya suami isteri dapat hidup bersama,berkongsi masalah suka duka,mendidik anak dan sebagainya.Namun,kadang kala harapan ini tidak tercapai kerana berlaku perselisihan dan pergaduhan sehinggalah terjadinya perceraian.Oleh itu Islam telah menyediakan beberapa cara dan jalan terakhir sekiranya suami isteri bertekad untuk membubarkan perkahwinan mereka antaranya ialah talak,fasakh,khuluk,takliq,lian,ila’dan zihar. 

Pengertian talak
Talak dari segi bahasa beerti melepaskan ikatan.Dari segi syarak ialah melepaskan ikatan perkahwinan dengan menggunakan lafaz talak atau sumpamanya.

Dalil harus talak     

Firman Allah SWT dalam surah Albaqarah Ayat 229 :

Maksudnya: talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) Dengan cara Yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) Dengan cara Yang baik.

Hadis yang diriwayatkan daripada saidina umar yang bermaksud:
            “Rasulullullah S.A.W telah menceraikan isterinya Hafsah kemudian baginda merujuknya semula”

Rukun dan syarat talak  

1.Suami.syarat-syarat suami ialah:
a)Mestilah seorang lelaki itu telah menjadi suami melalui perkahwinan yang sah,tidak jatuh talak jika belum berkahwin  atau telah bercerai dan habis eddah
b)Hendaklah suami dalam keadaan sedar,tidak jatuh talak sekiranya gila,pengsan dan pitam kecuali mabuk disebabkan minum minuman  keras dengan sengaja.
c)Baligh
d)Dengan rela hati dan tidak dipaksa,tidak jatuh talak jika diugut menceraikan isteri.

2.Isteri.Syarat-syarat isteri ialah:
a)Perempuan yg diceraikan hendaklah isteri yang sah semasa diceraikan
b)Talak akan bertambah lagi jika suami mentalakkan isteri yg didalam eddah perceraian talak Satu

3.Sighah(lafaz)sighah talak terbahagi kepada dua:
a)lafaz sarih(terang)iaitu yang diucapkan dengan terang dan jelas.Lafaz sarih ini terbahagi kepada tiga ucapan  sepeti berkata: “Aku ceraikan engkau talak satu”, “Aku lepaskan engkau”dan “Aku talakkan engkau”.Talak dengan lafaz  seperti ini akan jatuh akan jatuh talaknya walupun tanpa niat.
b)Lafaz kinayah(lafaz kiasan),iaitu cerai yang dilafazkan menggunakan bahasa sindiran seperti berkata : “Engkau haram keatas diriku”atau “pergilah balik kerumah emak bapak kamu” lafaz kinayah ini akan jatuh talak jika suami berniat menceraikan isterinya.
4.Qasad

Hukum talak 

Hukum menjatuhkan talak pada asalnya diharuskan dalam Islam,tetapi ia akan berubah menjadi:
1.Wajib:setelah rumahtangga itu gagal diperbaiki dengan keputusan hakim atau suami telah bersumpah untuk menceraikan isterinya.
2.Haram:menceraikan isteri semasa isteri dalam waktu haid atau ketika suci tetapi baru disetubuh.
3.Sunat:Jika suami tidak dapat menyempurkan nafkah batin
4.Makruh:Boleh menjadi haram jika menceraikan isteri tanpa sebab yang munasabah.
Islam menetapkan hanya suami sahaja yang mempunyai kuasa untuk menjatuhkan  talak walaubagaimanapun,isteri juga diberikan hak untuk memohon cerai dengan cara fasakh atau khuluk(tebus talak)



Pembahagian talak
Talak terbahagi kepada dua jenis iaitu:
1.Talak raj’I ,iaitu talak yang boleh dirujuk kembali tanpa perlu aqad nikah iaitu ketika isteri dalam waktu eddah(sebelum tiga kali suci daripada haid)
2.talak ba’in,ia terbahagi kepada dua:
a)Ba’in sughra:Talak yang tidak boleh dirujuk oleh suami kecuali diadakan aqad nikah yang baru iaitu perceraian yang dilakukan dengan cara khuluk(tebus talak)
b)Ba’in kubra:talak yang tidak boleh dirujuk kembali dengan cara biasa melainkan setelah syarat berikut dipenuhi:
i.Setelah selesai eddah si isteri
ii.Bekas isteri berkahwin dengan suami lain
iii.Suami lain menyetubuhi bekas isteri itu dan berlaku perceraian
iv.Selesai eddah dari suami yang lain itu

faktor berlaku perceraian

1.Kesetian dan kepercayaan :  Dalam hal ini baik lelaki  ataupun wanita sering kali mengabaikan peranan kesetiaan dan kepercayaan yang diberikan pada tiap pasangan, hingga timbul sebuah pertelingkahan.
2. Seks :  Kerap kali pasangan mengalami tidak puas dalam bersetubuh dengan pasangannya, sehingga menimbulkan masalah diantara keduanya.Apabila berlaku masalah ini suami isteri hendaklah berbincang bagaimanakah cara untuk mengatasi masalah tersebut.  
3.Ekonomi : faktor  ekonomi  mendorong pasangan bekerja untuk memenuhi tuntutan  ekonomi keluarga, sehingga adakalanya  perbezaan  dalam pendapatan atau gaji membuat setiap pasangan berselisih,  lebih-lebih lagi apabila  suami yang tidak bekerja.
4.Pernikahan tidak berlandaskan rasa cinta : keadaan  ini biasanya terjadi  disebabkan ibubapa yang mahukan  anaknya dikahwinkan dengan pasangan yang sudah ditentukan, sehingga setelah menjalani bahtera rumah tangga sering kali pasangan tersebut tidak mengalami keserasian.
5.Keturunan : Anak  memang menjadi impian bagi setiap pasangan, tetapi tidak semua pasangan mampu memberikan keturunan,  mungkin disebabkan  kemandulan pada salah satu pasangan tersebut, sehingga menjadikan sebuah rumah tangga tidak harmoni.


Prosedur perceraian

1. Seseorang suami atau seseorang isteri yang hendak bercerai hendaklah membuat permohonan kepada Mahkamah Syari‘ah di mana (tempat) dia bermastautin.

2. Sebelum sesuatu permohonan cerai dikemukakan kepada Mahkamah Syari‘ah, pihak suami isteri diminta membuat pengaduan ke Bahagian Khidmat Nasihat/Rundingcara di Pejabat Agama Islam Daerah untuk diberikan rundingan terlebih dahulu.

3. Sekiranya tidak ada jalan penyelesaian untuk mereka berdamai barulah kes tersebut dipanjangkan ke Mahkamah Syari‘ah.

4. Setelah Mahkamah Syari‘ah bersidang dan membuat sesuatu keputusan mengenai perceraian pasangan tersebut, pihak Mahkamah hendaklah menghantar satu salinan keputusan permohonan tersebut kepada Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk Daerah yang berkenaan.

5. Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk  Daerah hendaklah menyemak keputusan perceraian yang dikeluarkan oleh Mahkamah tersebut. Jika terdapat keraguan atau kesilapan teknik hendaklah dikembalikan untuk pembetulan.

6. Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk  Daerah hendaklah menandatangani Sijil Cerai yang telah disempurnakan dan menghantar satu salinan kepada Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk  Negeri .

7. Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk  Daerah hendaklah merekodkan dan mendaftarkan perceraian tersebut di dalam Buku Daftar Cerai.

8. Pendaftar hendaklah menyerahkan Sijil Cerai tersebut kepada pasangan berkenaan setelah isteri tersebut tamat eddahnya dan direkodkan di dalam buku daftar serahan sijil cerai.

9. Bagi kes suami yang ingin berkahwin dengan perempuan lain semasa dalam eddah  isterinya, maka pihak suami dikehendaki membuat permohonan berpoligami kepada Mahkamah Syari‘ah di mana tempat ia bermastautin/tinggal.

10. Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk  Daerah hendaklah merekodkan dan mencatatkan maklumat perceraian tersebut berdasarkan keputusan Mahkamah.



Kesan-kesan perceraian 

Islam tidak menggalakkan perceraian kerana ia akan mengakibatkan implikasi dan permasalahan yang besar disebabkan oleh perpisahan tersebut.Berbagai permasalahan akan timbul apabila berlaku perceraian di antara suami dan isteri.sebahagian dari kesan-kesan perceraian adalah:

1.Kesan emosi
Setiap pasangan yang menghadapi pergolakan rumah tangga pasti akan merasai tekanan perasaan seperti berikut:
a)jiwa terganggu
b)marah
c)sedih
d)tidak bermaya
e)terpencil
f)rendah diri
g)runsing
h)putus asa/kecewa
i)kesunyian

2.kesan terhadap anak
Dalam perceraian ,anak-anak menjadi mangsa terutama jiwa dan perasaan mereka.Mereka kurang mendapat kasih sayang ,perhatian dan bimbingan dari ibu bapa mereka.diantara kesan-kesan perceraian terhadap anak-anak ialah:
a)Kehilangan kasih sayang daripada ibu dan bapa
b)Kadangkala terpaksa berpisah daripada adik beradiknya
c)Rasa bersalah,malu,tidak selamat,hilang rasa keyakinan diri
d)Mengalami tekanan jiwa dan perasaan
e)Hilang tumpuan pada pelajaran
f)Akan menunjukkan tabiat dan sikap yang negatif

3.Kesan terhadap masalah kewangan 
Jika seseorang itu berpisah disebabkan masalah kewangan,perkara ini akan tetap menghantui diri mereka setelah bercerai nanti.Sebahagian dari permasalahan yang akan mereka hadapi adalah:
a)Kemewahan hidup sebelum ini terpaksa disekat,disebabkan oleh mata sepencarian yang tunggal
b)Masalah kewangan akan semakin menekan jika seorang isteri sebelum ini hanya bergantung kepada yang  diberikan oleh suami
c)Perbelanjaan harian anak-anak akan terjejas dan ini mungkin akan turut menjejaskan prestasi mereka
d)Berlaku tuntutan berhubung isu nafkah anak di mahkamah

4.kesan terhadap sosial
Jika berlaku perpisahan,kehidupan social seseorang itu juga akan mengalami kepincangan.permasalahan yang berhubung dengan pergaulan dan interaksi sesame manusia akan mengakibatkan kesan-kesan yang negatif dalam kehidupan mereka seperti:
a)Pasangan akan dipandang sinis oleh masyarakat dengan gelaran yang mereka miliki(janda/duda)
b)suami dan isteri akan kehilangan keluarga,saudara mara dan kawan dari pasangan masing-masing
c)pasangan terpaksa mendapatkan bantuan dan pertolongan dari keluarga dan saudara mara dalam hal penjagaan anak-anak
d)pasangan kadang-kadang terpaksa mendapatkan bantuan kebajikan dari badan-badan tertentu

pengertian eddah

Eddah bermaksud tempoh seseorang wanita yang telah diceraikan mesti menunggu sehingga habis tempoh tersebut sebagai ibadah untuk Allah SWT atau sebagai tanda kesedihan diatas kehilangan suami atau bagi memastikan kandungannya bebas dari janin(tidak hamil).Eddah terbahagi kepada dua bahagian:
1)Perempuan yang kematian suami
a)Edah bagi perempuan yang mengandung dgn melahirkan anak.
b)Jika perempuan itu tidak hamil eddahnya empat bulan sepuluh hari


 2)Perempuan yang bukan kematian suami
a) Eddah bagi perempuan yg suaminya masih hidup jika hamil eddahnya apabila melahirkan anak
b)Jika perempuan itu tidak hamil eddahnya tiga kali suci
c)Jika perempuan itu masih budak atau perempuan yang sudah putus asa daripada haid eddahnya tiga bulan

pengertian fasakh

 Fasakh ialah membatalkan atau melepaskan akad nikah disebabkan oleh kecacatan yang berlaku pada waktu akad atau kecacatan yang mendatang selepas berlakunya akad nikah yang menghalang kekalnya perkahwinan.

Sebab fasakh

Antara  sebab yang boleh menyebabkan berlakunya fasakh ialah:

1.Sebab yang merosakkan akad.

a) Isteri termasuk dalam golongan orang yang haram dikahwini sama ada sebab keturunan, susuan atau persemendaan atau bekas isteri yang dalam tempoh eddah  talaq suami pertamanya.

b) Pernikahan yang dilakukan semasa belum baligh (kecil) dan apabila baligh minta difasakhkan akad itu.

2.Sebab yang mendatang selepas pernikahan.

a) Salah seorang daripada suami atau isteri itu murtad.

b) Pasangan suami isteri bukan Islam semasa bernikah dan salah seorang memeluk Islam.

c) Suami telah melakukan salah satu perkara yang diharamkan sebab seperti berzina dengan ibu mertua.

 Manakala dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam  Seksyen 53 menegaskan lagi sebab-sebab yang menyebabkan berlakunya fasakh seperti di bawah ini:

1. Tempat di mana beradanya suami tidak diketahui selama tempoh lebih dari setahun.

2. Suami cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan nafkah bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan.

3. Suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih.

4. Suami  tidak menunaikan tanpa sebab yang munasabah nafkah batin selama tempoh satu tahun.

5. Suami mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami mati pucuk.

6. Suami telah gila selama tempoh dua tahun, sedang mengidap penyakit kusta atau sedang mengidap penyakit kelamin yang boleh berjangkit.

7. Suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya, iaitu antaranya:

a) Lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan kelakuan aniaya.

b) Berkawan dengan perempuan-perempuan atau lelaki yang berperangai jahat atau hidup keji mengikut pandangan hukum syarak.

c) Cuba memaksa isteri hidup secara lucah.

d) Melupuskan harta isteri atau suami atau melarang isteri atau suami itu daripada menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu.

e) Menghalang isteri atau suami daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya.

f) Jika suami mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isterinya secara adil mengikut kehendak-kehendak hukum syarak.

9. Walaupun empat bulan berlalu perkahwinan itu belum disatukan kerana suami atau isteri bersengaja enggan bersetubuh.

10. Isteri tidak izin akan perkahwinan itu atau izinnya tidak sah sama ada dengan sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal atau lain-lain hal yang diakui oleh hukum syarak.

Hikmah fasakh

1. Untuk menjamin hak dan perlindungan kepada kaum wanita sekiranya mereka teraniaya.

2. Menyedarkan kaum suami bahawa perceraian bukan hanya dimiliki secara mutlak oleh suami sahaja.

3. Menunjukkan keunggulan syari‘at Allah SWT yang Maha Mengetahui akan keperluan hambaNya.

Pengertian khuluk

 
Khuluk  dari segi bahasa bererti melepas atau menanggalkan.
 Manakala dari segi syara‘ pula ialah perceraian daripada suami ke atas isteri dengan tebusan yang diterima oleh suami.
 Contohnya suami berkata “Aku talaqkan kamu dengan bayaran sekian banyak” atau isteri berkata: “Aku menebus talaq ke atas diriku dengan bayaran sekian banyak”.

 
Dalil  khuluk

 Firman Allah SWT:
Maksudnya:talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) Dengan cara Yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) Dengan cara Yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa Yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri Yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. oleh itu kalau kamu khuatir Bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa - mengenai bayaran (tebus talak) Yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa Yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang Yang zalim.



Syarat sah khuluk

 Syarat sah khuluk adalah seperti berikut:

1. Suami: Baligh, berakal, mukhtar (bebas) melakukan khuluk  bukan dipaksa.

2. Isteri: Hendaklah seorang yang boleh menguruskan harta dan mukallaf.

3. Lafaz khuluk: Hendaklah disebut dengan terang.

4. Bayaran khuluk: Hendaklah dijelaskan dengan jumlah yang tertentu.


 Peringatan:
Walaupun isteri mempunyai hak untuk memohon fasakh dan khuluk, tetapi Rasulullah sallallahu SAW menuntut agar ia tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya.

 Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Mana-mana perempuan yang memohon cerai daripada suaminya tanpa sebab yang munasabah maka haram ke atasnya bau syurga."
    (Riwayat Bukhari)

Jika suami tidak bersetuju menjatuhkan talaq dengan kerelaannya sendiri, tetapi isteri bersetuju bercerai dengan tebus talaq, Mahkamah hendaklah  menasihatkan suami itu melafazkan perceraian dengan tebus talaq mengikut hukum syarak, dan perceraian itu adalah bain sughra dan tidak boleh dirujukan.

Pengertian takliq

Takliq ialah lafaz yang diucapkan sebagai syarat untuk membatalkan pernikahan jika berlakunya sesuatu yang bertentangan dengan ta‘liq tersebut.

Syarat jatuh cerai takliq :

    1. Suami: Hendaklah mempunyai keahlian menjatuhkan cerai dengan melafazkan kata-kata takliq.

    2. Belum berlaku: Hendaklah takliq ke atas perkara yang belum berlaku atas perkara yang mungkin berlaku.

    3. Isteri: Hendaklah menjadi ahli cerai (masih menjadi isteri yang sah).

 Contohnya suami berkata kepada isteri: “Jika engkau keluar dari rumah ini sepanjang ketiadaan aku, jatuhlah talak engkau” atau “Apabila engkau pergi ke rumah si anu, jatuhlah talak” atau “Manakala engkau pergi ke sana tanpa izinku jatuh talak” atau sebagainya.

 Apabila berlakunya perkara yang bertentangan dengan syarat yang dilafazkan, maka terjatuhlah talak menurut hukum syarak.


Pengertian Li’an

Li‘an berlaku apabila terjadinya qazaf iaitu suami menuduh isterinya berlaku zina atau menafikan anak yang dikandungkan oleh isterinya sebagai anak.

Li‘an ialah sumpah seorang suami apabila dia menuduh isterinya berzina tanpa mempunyai empat orang saksi kecuali dirinya sahaja, maka hendaklah dia bersumpah empat kali “bahawa dia adalah orang yang benar” dan pada kali kelimanya “bahawa dia akan dilaknati Allah jika dia berdusta”.

Sekiranya isteri menolak tuduhan tersebut, maka hendaklah dia bersumpah sebanyak empat kali “bahawa suaminya itu berdusta” dan pada kali kelimanya “bahawa dia akan dilaknati Allah jika suaminya benar”.

Firman Allah SWTdalam surah Annur Ayat 6-9:

Maksudya:Dan orang-orang Yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada Syarak) bagi seseorang Yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah Dengan nama Allah, empat kali, Bahawa Sesungguhnya ia dari orang-orang Yang benar; -
dan sumpah Yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang Yang dusta.
dan bagi menghindarkan hukuman seksa dari isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah ia bersumpah Dengan nama Allah, empat kali, Bahawa suaminya (yang menuduh) itu Sesungguhnya adalah dari orang-orang Yang berdusta; -
dan sumpah Yang kelima (hendaklah ia berkata); Bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang-orang Yang benar.


Kesan Lia’n

1.Jika pihak-pihak kepada sesuatu perkahwinan telah mengangkat sumpah dengan cara li‘an mengikut hukum syarak di hadapan seorang hakim syar‘i, atas penghakiman, maka hakim syar‘i itu hendaklah memerintahkan mereka difaraqkan dan dipisahkan dan hidup berasingan selama-lamanya.”

2.Mengikut peruntukan hukum syarak, sekiranya yang menuduh (suami) enggan bersumpah, maka dia akan dikenakan hukuman qazaf dengan sebatan sebanyak 80 kali rotan. Manakala jika isteri yang dituduh pula tidak menolak tuduhan suaminya, maka dia akan dikenakan hukuman sebagaimana orang yang berzina kecuali kedua-dua mereka bersumpah dan melakukan li‘an.

3.Apabila kedua-duanya bersumpah dan melakukan li‘an, maka ikatan perkahwinan mereka suami isteri akan terputus sama sekali dan mereka diharamkan berkahwin semula buat selama-lamanya.



Pengertian Ila’

Dari segi bahasa bermakna sumpah.Dari segi syarak ialah suami bersumpah untuk mencegah dirinya dari menyutubuhi isterinya selama empat bulan atau lebih

Firman Allah SWT dalam surah Albaqarah ayat 226-227
kepada orang-orang Yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka, diberikan tempoh empat bulan. setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak (menceraikan isteri), maka Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.

Hukum Ila’

Apabila suami bersumpah untuk tidak menyetubuhi isterinya  selama empat bulan atau lebih,maka suami terpaksa melalui beberapa peringkat hukum:
1.Hakim akan menangguhkan si suami dari menyetubuhi isterinya selama 4 bulan bermula dari hari pertama suami bersumpah.Penangguhan ini dibuat untuk memberi peluang kepada suami sama ada menarik balik sumpah atau menjatuhkan talak
2.Menarik balik sumpah dengan menyetubuhi isterinya serta membayar kaffarah
3.Atau menjatuhkan talak keatas isterinya jika enggan menarik balik sumpahnya


Jika tamat tempoh empat bulan yang diberikan oleh hakim sedangkan si suami masih enggan melaksanakan salah satu daripada dua perkara tersebut hakim akan memerintah suami supaya menjatuhkan talak, sekiranya suami masih enggan untuk menjatuhkan talak maka hakim akan menggunakan kuasanya untuk menjatuhkan talak satu kepada isteri.

Kesan ila’

1.Terdapatnya penderaan secara batiniah kerana menurut pendapat sheikh bajuri(hasyiah bajuri ala ibnu qosim) perempuan boleh bersabar daripada disetubuhi suaminya selama empat bulan sahaja jika lebih daripada itu kesabarannya mungkin akan hilang atau kurang sabar
2.terpaksa membayar kaffarah sumpah jika suami menarik balik sumpahnya dan kembali menyetubuhi isterinya
3.bergantung dengan hukum talak jika suami enggan menarik balik sumpahnya
4.bergantung dengan hukum eddah jika suami mentalak isterinya

Kaffarah sumpah  

1.Merdekakan seorang hamba yang beriman atau
2.memberi makanan atau pakaian kepada 10 orang miskin atau
3.berpuasa sebanyak tiga hari dengan niat kaffarah


Pengertian zihar
Dari segi bahasa ialah belakang,dari segi syarak suami menyerupakan isterinya dengan perempuan-perempuan yang haram dinikahinya

Dalil hukum zihar

Firman Allah SWT dalam surah Almujadalah ayat 2:

orang-orang Yang "ziharkan" isterinya dari kalangan kamu (adalah orang-orang Yang bersalah, kerana) isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu mereka. ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah perempuan-perempuan Yang melahirkan mereka. dan Sesungguhnya mereka (dengan melakukan Yang demikian) memperkatakan suatu perkara Yang mungkar dan dusta. dan (ingatlah), Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.

Syarat terjadinya zihar

1.Perempuan itu merupakan isteri yang sah kepada suaminya
2.Wanita-wanita yang diserupakan suami itu adalah terdiri daripada wanita-wanita yang haram dikahwininya dengan sebab nasab,susuan atau perkahwinan
3.Suami adalah orang yang sah talaknya
4.Suami tidak menyertakan lafaz zihar dengan lafaz talak,jika suami menyertakan lafaz ziharnya dengan talak maka tidaklah terjadi zihar sebaliknya berubah kepada hukum talak. 

Kesan zihar
1.Suami tidak boleh menyutubuhi isterinya selagi tidak membayar kaffarah
2.Suami terpaksa menanggung kepayahan dalam melaksanakan kaffarah
3.Bergantung dengan hukum talak dan eddah sekiranya suami menyertai lafaz zihar dengan talak


Kaffarah zihar

1.Memerdekakan seorang hamba, Jika tidak mampu
2.Berpuasa dua bulan berturut-turut,Jika tidak mampu
3.Memberi makan enam puluh orang miskin

Firman Allah SWT dalam surah Almujadalah ayat 3-4:

dan orang-orang Yang "ziharkan" isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa Yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadaNya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. Dengan hukum Yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara Yang mungkar itu). dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya akan apa Yang kamu lakukan.
Kemudian, sesiapa Yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. akhirnya sesiapa Yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah ia memberi makan enam puluh orang miskin. ditetapkan hukum itu untuk membuktikan iman kamu kepada Allah dan RasulNya (dengan mematuhi perintahNya serta menjauhi adat Jahiliyah). dan itulah batas-batas hukum Allah; dan bagi orang-orang Yang kafir disediakan azab seksa Yang tidak terperi sakitnya.