Wednesday 11 July 2012

martabat puasa

Setiap orang yang berpuasa dibahagikan kepada 3 jenis martabat utama iaitu martabat  ORANG YANG MUBTADI ( orang awam ) ,martabat ORANG YANG MUTAWASSIT (orang khusus/khowas),dan martabat ORANG YANG MUNTAHI ( Khowasul khowas/terperinci ). Berikut antara sedikit penjelasan ketiga-ketiga darjat menurut ulasan dari Kitab Kashful Asror & Kitab Asroru Ddin :-

1.  Martabat orang Mubtadi(Orang Awam)

Sekadar menahan makan dan minum di siang hari dan menahan jimak pada siang hari serta menghadirkan niat pada malamnya.

2.  Martabat orang Mutawassit(Orang Khusus/Khowas)

Menahan segala anggota yang tujuh daripada mengerjakan yang haram;
  • Menahan dua mata daripada yang haram seperti melihat perempuan yang hilat;
  • Menahan lidah daripada mengumpat dan berdusta;
  • Menahan telinga daripada mendengar perkataan yang sia-sia dan mendengar orang mengumpat
  • Menahan tangan daripada mencapai/mengambil yang haram
  • Menahan kaki daripada berjalan kepada pekerjaan yang haram;
  • Menahan faraj daripada yang haram;
  • [Menahan hidung daripada menghidu yang haram]
Mungkin inilah apa yang diisyaratkan oleh Rasulullah s.a.w melalui sabdanya:

"Bukanlah puasa itu sekadar menahan diri dari makan dan minum sahaja. Tetapi sesungguhnya puasa itu menahan diri daripada berkata-kata yang tidak sopan, perbuatan yang sia-sia dan keji." (Riwayat Ibnu Khuzaimah)

Dan berkata orang-orang Mutawassit kepada orang-orang Mubtadi;

"Hanya payah(penat/lelah) berlapar dan dahaga sahaja;  tiada faedah pada berpuasa(yakni tidak dapat mengasuh dan mendidik jiwanya daripada memelihara anggota zahirnya)

Menurut kitab Asroru-Ddin puasa ini ialah
  • menahan diri daripada menerima kebencian oleh segala makhluk dan
  • menahan diri daripada hawa nafsu yang datang  dan
  • menahan diri daripada
    • keluh kesah kena bala dan
    • keluh-kesah dalam berbuat taat dan
    • keluh-kesah menahan qada dan qadar daripada Allah Taala walaupun ianya sangat dibenci olehmu sekalipun.
 3.  Martabat orang-orang Muntahi(Khowasul-khowas/ArifbiLlah)

Memelihara hati daripada mencita-citakan kemuliaan dunia dan menahan hati ingat akan ghairullah(sesuatu selain daripada Allah).

Dan jika ditanya manakah yang dikatakan sebenar-benar puasa?

Maka jawapannya ada pada cara berpuasa orang-orang Muntahi ini ; di mana puasa mereka ialah  berpuasa hati mereka daripada  condong atau cenderung dan mengingati sesuatu selaian daripada Allah.
  • Mereka berpuasa daripada makan dan minum (jasad yang basyariyah)
  • Mereka berpuasa daripada berkira-kira untuk menyediakan menu yang lazat-lazat sewaktu berbuka atau bersahur.
  • Mereka berpuasa daripada melakukan maksiat-maksiat yang zhohir (nafsu yang syaithoniyah)
  • Mereka berpuasa daripada membilang-bilang pahala amalan;
  • Mereka berpuasa daripada mengukur-ukur kedudukan diri dan martabat; (aku bijak,  aku pandai,  aku alim, aku banyak amal,  aku pembimbing manusia,  aku telah capai maqam anu,  maqam itu)
  • Mereka berpuasa daripada menghidu aroma syurga
  • Mereka berpuasa daripada menoleh kepada karenah alam dan makhluk
  • Mereka berpuasa daripada menilik wujud diri sendiri
  • Mereka berpuasa daripada memandang kepada wasitoh (amal, barakah, guru, ilmu, karamat dan apa sahaja yang bernama Masyiwallah.
Puasa mereka ini  melengkapi jasad,  hati,  akal dan ruh.
Tidak perlulah kita membilang-bilang darjat dan tingkatan puasa kita,namun  renung dan muhasabahlah  amal-amal yang kita lakukan agar ianya dapat dipersembahkan kepada Allah dalam keadaan yang sempurna. Ke mana sahaja kita menghadap, disitu jualah Allah berada.

Wallahua`lam..

Selamat menunaikan ibadah berpuasa.

Sekian.