ا
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ
لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ
لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ
وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا
بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ
إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah !
Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan
Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya
sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan
ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi
segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah
dalam ayat 123 surah Ali Imran : ولقد نصركم الله ببدر
وأنتم أذلة فاتقوا الله لعلكم تشكرون
Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah membantu kamu dalam peperangan Badar
sedangkan kamu ketika itu adalah orang-orang yang lemah. Kerana itu bertaqwalah
kepada Allah supaya kamu mensyukuriNya.
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Kedatangan bulan Ramadhan untuk sekian kalinya disambut dengan penuh kesyukuran
dengan berpuasa disiang harinya dan mendirikan malamnya dengan solat terawih
dan sebagainya disamping membaca al-Quran serta berzikir bagi mendekatkan diri
kepada Allah. Kedatangan Ramadhan bersama rahmat Allah dan keampunanNya
disamping berlipat gandanya pahala dan juga anugerah lailatul Qadar yang lebih
baik daripada seribu bulan. Kedatangan Ramadhan juga mengingatkan kita kepada
beberapa peristiwa besar yang berlaku pada bulan ini yang boleh kita sama-sama
renungi. Pada bulan ini telah menyaksikan berlakunya pembukaan Kota Mekah yang
gemilang oleh Rasulullah s.a.w pada tahun 8 Hijrah, pembebasan Baitul Maqdis
dan Masjid Aqsa daripada cengkaman Kerajaan Rom oleh pahlawan Islam Salehudin
al-Ayyubi. Pada 17 Ramadhan sahaja kita dapat menyaksikan beberapa lagi
peristiwa yang bersejarah iaitu pada tarikh ini telah turunnya wahyu yang
pertama kepada Rasulullah s.a.w yang sewaktu itu berumur 40 tahun melalui
malaikat Jibril ketika nabi sedang bermunajat di Gua Hira’. Pada Subuh pagi
Jumaat 17 Ramadhan tahun 40 Hijrah pula Sayyidina Ali bin Abi Talib telah
ditikam oleh Ibnu Maljam ketika menuju ke masjid dimana tikaman itu telah
terkena dibahagian kepala Sayyidina Ali. Tikaman dengan menggunakan senjata
yang beracun ini telah menyebabkan Sayyidina Ali menghembus nafas yang terakhir
pada malam Ahad 19 Ramadhan tahun 40 Hijrah ketika berumur 63 tahun.
Sidang
Jumaat yang dikasihi, Apa yang mahu ditekan pada hari ini ialah mengenai
peristiwa peperangan Badar al-Kubra yang merupakan tapak kemenangan Islam dalam
melebarkan penguasaan seterusnya. Peperangan Badar al-Kubra ini telah berlaku
pada 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah di mana pada tahun ini juga Allah mewajibkan
berpuasa sebulan Ramadhan. Peristiwa ini berlaku apabila Rasulullah s.a.w
sendiri yang mengetuai pasukan tentera Islam seramai 313 orang telah menuju ke
Badar bertujuan untuk menyekat qafilah perniagaan Quraisy pimpinan Abu Sufian
bin Harb yang baru pulang dari Syam menuju ke Mekah. Jumlah tentera Islam tidak
begitu ramai kerana ia pada asalnya merupakan suatu operasi dalam menyekat
qabilah tersebut dan Rasulullah s.a.w sendiri tidak meramalkan akan berlakunya
suatu peperangan terbuka yang besar dan bersejarah. Oleh itu ramai di kalangan
sahabat tidak menyertai gerakan ini. Malangnya kemaraan tentera Islam telah
diketahui oleh Abu Sufian melalui pengintip yang telah ditugaskannya lalu dia
memerintahkan agar wakil qafilah untuk meminta bantuan daripada Kafir Quraisy
di Mekah. Disamping itu Abu Sufian telah melalui jalan lain iaitu melalui
pantai sehingga mereka berjaya menyelamatkan diri daripada bertembung dengan
tentera Islam. Setelah itu dia menghantar utusan untuk bertemu Abu Jahal bagi
menyatakan bahawa mereka telah selamat dan tidak memerlukan bantuan tentera
lagi tetapi Abu Jahal dengan sombongnya menyatakan : “ Demi Allah! Kita tidak
mahu pulang sekarang sehingga kita sampai di Badar. Kita berpesta di sana
selama 3 hari, kita sembelih unta. Minum arak dan menyanyi sehingga seluruh
bangsa arab mengetahui perhimpunan dan kedatangan kita. Maka kehebatan kita
terus menerus dapat dilihat oleh mereka “. Rasulullah s.a.w ini telah
mengetahui tentang qafilah Abu Sufian telah berjaya menyelamatkan diri
disamping bala tentera kafir Quraisy yang besar iaitu seramai 1300 orang dan
lengkap bersenjata telah tiba di Badar. Oleh itu tentera Islam tidak boleh
mengelak lagi daripada bertempur kerana jika mereka berundur bererti kafir
Quraisy akan mendapat kemenangan moral dari segi politik dan tentera serta
mendapat kedudukan yang kuat di Semenanjung Arab dan memungkinkan mereka
bermaharajalela sesuka hati. Walau pun dengan jumlah yang sedikit dan
kelengkapan yang tidak mencukupi namun semangat jihad demi mempertahankan Islam
terus membara dalam diri tentera Islam. Sidang Jumaat yang dikasihi, Selepas
itu Rasulullah s.a.w telah membentuk 2 pasukan pengintip dalam meninjau
kekuatan musuh. Pada malam itu Allah menurunkan hujan sebagai pertolongan
kepada tentera Islam dan bencana kepada tentera musuh. Kemudian tentera Islam
telah membina markaz disebuah tempat yang terletaknya mata air paling dekat
dengan musuh di mana di situ mereka telah membina kolam disamping menimbus
tempat-tempat air yang lain. Dengan cara ini musuh akan keputusan bekalan air.
Kemudian Sa’ad bin Mu’adz telah mencadangkan kepada Rasulullah s.a.w : “ Wahai
Rasulullah! Saya cadangkan agar dibina tempat perlindungan untuk menjamin
keselalamatan Rasulullah. Biar kami bertempur dengan musuh. Jika Allah
mengurniakan kemenangan kepada kita dan kita dapat mengatasi musuh maka itulah
yang sangat kami kehendaki. Sekiranya Allah mengkehendaki berlaku sebaliknya
maka engkau tetap berada dalam keadaan selamat di tempat itu. Engkau boleh
terus bersama dengan orang-orang yang masih ada dan mereka juga kasih kepadamu
seperti kami juga. Jikalau engkau mahu meneruskan lagi peperangan, mereka
sekali-kali tidak akan meninggalkanmu dan terus mempertahankanmu dengan
sama-sama berjihad bersamamu”. Lalu para sahabat membina tempat untuk
Rasulullah s.a.w di satu tempat yang tinggi yang membolehkan baginda memerhati
ke arah medan pertempuran. Pada malam Jumaat 17 Ramadhan itu tentera Islam
diberikan ketenangan oleh Allah di mana mereka dapat tidur dengan nyenyak
kerana keesokan harinya mereka akan bertempur dengan musuh Allah itu. Pada pagi
Jumaat 17 Ramadhan, kedua-dua belah pihak bersedia untuk berperang di mana
Rasulullah s.a.w sendiri telah menyusun sof tentera dengan susunan yang kemas
dan rapi. Selepas itu Rasulullah s.a.w telah mengangkat tangan memohon
pertolongan Allah. Antara doa baginda ialah : اللهم
أنجزني ما وعدتني , اللهم آت ما وعدتني اللهم إن تهلك هذه العصابة لا تعبد “ Ya Allah! Wahai Tuhanku, tunaikanlah apa
yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah! Wahai Tuhanku, kurniakanlah apa
yang dijanjikan kepadaku. Ya Allah! Wahai Tuhanku, jika Engkau binasakan
pasukan kecil ini maka Engkau tidak akan disembah lagi di bumi selepas ini “
Pertempuran bermula dengan Rasulullah s.a.w meminta agar Ubaidah bin Harith,
Sayyidina Hamzah dan Sayyidina Ali mara untuk menentang tiga pemimpin Quraisy
yang telah mencabar tentera Islam. Ketiga-tiga pahlawan Islam telah berjaya
membunuh musuh mereka di mana kemenangan ini merupakan kemenangan awal dalam
menyemarakkan lagi semangat jihad. Selepas itulah berlakunya pertempuran di
mana pada peringkat pertama tentera Islam mengambil tindakan bertahan di mana
tentera musuh berjaya dilumpuhkan dengan kehilangan banyak jiwa. Dalam saat
yang genting ini Rasulullah terus bermunajat kepada Allah sehingga kain yang
disangkut dibahunya terjatuh di mana Sayyidina Abu Bakar yang melihat perkara
ini terasa begitu sedih dan berkata kepada Rasulullah : “ Cukuplah wahai nabi
Allah! “. Allah mengabulkan doa baginda dengan menghantar tentera malaikat.
Pada peringkat kedua tentera Islam mula mengambil tindakan menyerang di mana
serangan ini turut dibantu oleh tentera daripada kalangan malaikat di mana
antara yang dapat disaksikan ialah bagaimana terputusnya kepala dan tangan
musuh tanpa dapat dilihat sesiapa yang memancungnya. Seorang tentera Islam yang
sedang mengejar musuh tiba-tiba terdengar pukulan cemeti dari atas dan
terdengar suara pahlawan berkuda. Seorang sahabat lagi dapat melihat bagaimana
kepala musuh terputus sebelum pedangnya mengenai batang tengkuk musuh itu.
Iblis yang menyerupai dirinya sebagai Suraqah bin Malik merasa gementar apabila
melihat penyertaan malaikat. Dia terus lari dan terlanggar Al-Harith bin Hisyam
sehingga rebah. Apabila ditanya mengapa dia cuba lari lalu dia menyatakan
bahawa dia nampak apa tidak mampu dilihat oleh tentera kafir dan dia begitu
takut kepada Allah yang amat pedih siksaanNya. Kemudian dia lari sekuat hatinya
dan mencampakkan dirinya ke laut. Abu Jahal sendiri berjaya dibunuh apabila
Mu’adz bin Amru telah merempuh lapisan lembing dan tombak yang mengelilingi Abu
Jahal sehingga dia berjaya menetak di tengah betisnya. Tiba-tiba Ikramah anak
Abu Jahal menetak ke leher pemuda itu lalu terkena tangannya sehingga hampir
putus dan hanya tergantung dikulitnya sahaja. Dia meneruskan serangan terhadap
Abu Jahal dengan mengheret tangannya yang terkulai di mana ketika terasa sakit
lalu dia memijak tangan itu dengan kakinya supaya putus. Kemudian Mu’adz
berjaya menetak Abu Jahal sehingga hampir maut. Abdullah bin Mas’ud yang
mencari-cari Abu Jahal telah menjumpainya lalu terus memancung lehernya di mana
kepalanya telah dibawa kepada Rasulullah s.a.w. Baginda menyatakan bahawa
inilah dia Firaun umat ini.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Peperangan yang
bersejarah ini berakhir dengan kemenangan yang nyata kepada tentera Islam di
mana 70 orang musyrikin terbunuh dan 70 orang lagi berjaya ditawan. Manakala 14
orang tentera Islam telah gugur syahid. Kemenangan ini terus diberitahu kepada
penduduk Madinah melalui 2 orang utusan yang dihantar oleh Rasulullah s.a.w
bagi menafikan berita bohong yang disampaikan oleh puak munafik dan yahudi yang
menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w telah wafat. Berita kemenangan ini disambut
dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan yang menjadi lambang kepada keagungan
Islam yang bakal menguasai dunia. Mereka bertakbir dan bertahlil menyambut
berita ini dan ada para sahabat yang terkemuka yang tinggal di Madinah telah
menuju ke Badar bagi menyampaikan ucapan tahniah kepada Rasulullah s.a.w.
Manakala Sayyidina Othman pula mendapat berita gembira ini ketika sedang
mengkebumikan jenazah anak Rasulullah s.a.w Ruqayyah yang baru meninggal dunia.
Kemenangan ini telah meletakkan Islam agama yang tertinggi dan umat Islam
menjadi bangsa yang kuat bukan lagi sebagai mangsa penindasan para kuffar.
Semoga semangat jihad Badar ini akan membakar semangat kita dalam memastikan
Islam menjadi agama yang memerintah bukannya agama yang diperintah. Firman
Allah dalam ayat 9 surah al-Anfal : إذ تستغيثون ربكم
فاستجاب لكم أني ممدكم بألف من الملائكة مردفين Maksudnya : Ingatlah ketika kamu memohon pertolongan kepada
Tuhanmu lalu diperkenankannya bagimu. Sesungguhnya Aku akan mendatangkan
bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut. بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ
وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ
وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ
وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ
وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ
المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
No comments:
Post a Comment